Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Polis serbu kondominium mewah lumpuhkan rangkaian dadah antarabangsa

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah didalangi warga Iran lumpuh setelah tertangkapnya 21 anggota sindiket itu bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM6 juta dalam lima serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam serbuan pertama di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, polis menahan empat lelaki warga Iran.
Katanya polis merampas dadah jenis syabu seberat 20kg dalam bentuk serbuk, heroin 630g, 65.07 liter cecair syabu yang dipercayai untuk diproses menjadi dadah jenis syabu ketulan kristal serta beberapa bahan kimia untuk tujuan membuat syabu.
Beliau berkata susulan itu polis menahan 17 lagi anggota sindiket berkenaan hasil serbuan ke beberapa buah kediaman mewah lain di Cyberjaya, Mont Kiara, Petaling Jaya, Jalan Ipoh dan Bandar Manjalara di Kepong.
"Serbuan semalam membawa kita kepada penahanan 21 anggota sindiket itu, berumur antara 22 dan 54 tahun membabitkan 15 warga Iran iaitu 14 lelaki dan seorang wanita, seorang lelaki Uzbekistan dan dua wanita Uzbekistan, dua wanita
Filipina dan seorang lelaki tempatan. Polis percaya dapat melumpuhkan rangkaian sindiket dadah antarabangsa membabitkan warga asing," katanya di sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
Noor Rashid berkata ketika serbuan dijalankan dadah jenis syabu itu disembunyikan di dalam 218 bekas tin kecil (canister) yang telah dikimpal bagi mengaburi mata pihak berkuasa, malah percaya kediaman mewah itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan pemprosesan dadah sebelum dijual di dalam dan luar negara.
Katanya serbuk syabu yang disembunyikan di dalam tin canister tersebut dipercayai dibawa masuk menerusi pelabuhan menggunakan kapal kargo.
Beliau berkata beberapa barangan lain turut dirampas dalam serbuan itu antaranya tiga kereta Honda, sebuah Hyundai, Volvo, Land Rover, Mitsubishi dan Mercedez, dua utas jam tangan berjenama, satu komputer riba, sejumlah barang kemas serta wang tunai bernilai RM44,000.
Noor Rashid berkata risikan polis mendapati rata-rata anggota sindiket itu telah berada di negara ini sejak beberapa bulan lalu dan menjalankan perniagaan haram untuk sumber pendapatan.
"Kesemua suspek kini direman sehingga 16 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman mati mandatori," katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment