TAWAU - Polis mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun selepas dia gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menipu warga emas.
  
Lelaki itu didakwa menyamar kakitangan Jabatan Kebajikan untuk menawarkan khidmat membantu orang tua memperoleh bantuan kebajikan.
  
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata suspek, Basri Saifudin, yang berasal dari Kampung Berungis, Tuaran, sepatutnya hadir ke mahkamah di sini pada 19 Julai lalu bagi menghadapi tuduhan berkenaan.
  
Katanya Saifudin dan beberapa lagi rakannya yang masih bebas disyaki terlibat dalam tujuh kes memperdaya warga tua.
  
"Ada tujuh kes seperti itu dilaporkan sejak awal tahun ini. Mangsa-mangsanya ialah warga tua berumur antara 60-an hingga 70-an tahun. Kerugian yang dialami tujuh mangsa itu ialah antara RM15,000 hingga RM20,000," katanya kepada pemberita di sini.
  
Warga tua yang mahukan bantuan daripada kumpulan itu diminta menyerahkan barangan berharga seperti emas dan telefon bimbit kononnya untuk digunakan dalam proses permohonan bantuan itu nanti.
  
Bagaimanapun, selepas memperoleh barangan itu, kumpulan itu terus menghilangkan diri.  - Bernama