PASIR PUTEH- Empat puluh dua petani mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM200,000 apabila 60 hektar tanaman padi yang mereka usahakan di Kampung Gong Kulim di sini, musnah diserang serangga kutu beruang.
  
Ketua petani kampung berkenaan, Yusuf Hamat, 50, berkata serangga itu mulai menyerang ketika pokok padi berumur tiga minggu selepas ditabur benih pada April lepas.
  
"Pokok padi yang diserang itu menjadi kering dan hangus akibat kepanasan dan terus musnah...jika tidak rosak kami sudah merasai hasilnya sekarang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan tanaman padi itu, hari ini.
  
Beliau berharap kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan dapat membantu  untuk membolehkan mereka mengerjakan tanaman padi pada musim baru yang akan bermula bulan depan.
  
Setiausaha projek berkenaan, Abdul Rahman Awang Noh, 45, berkata petani telah berusaha untuk menyelamatkan tanaman mereka daripada serangan serangga itu dengan menyembur racun tetapi tidak berhasil.
  
Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak, Mustapa Hamzah ketika dihubungi di sini berkata pihaknya akan membuat siasatan untuk mengetahui jumlah kerosakan sebenar.
  
Laporan siasatan itu akan dihantar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tindakan lanjut, katanya. -Bernama