Pesara maut kereta rempuh wakaf
Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Sri Batin, Gong Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.
KUALA TERENGGANU – Seorang pesara terbunuh selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah wakaf dalam satu kemalangan yang berlaku di Taman Sri Batin, Gong Badak, di sini kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, As’ari Che Hassan berusia 61 tahun maut di tempat kejadian.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa yang tinggal di Taman Sri Batin dalam perjalanan pulang dari Masjid Wakaf Tembesu tiba-tiba terbabas ke kiri jalan dan terlanggar sebatang tiang telefon di bahu jalan.

Mangsa yang memandu Perodua Kembara kemudian merempuh sebuah wakaf di seberang jalan taman berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.