Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Penoreh getah tempang diburu


Penoreh getah tempang diburu
Manoharan menunjukkan gambar ‘DolohLeeng Doloh’ yang diburu untu bantu siasatan pembunuhan kejam di ladang kelapa sawit di Kampung Tapah, Sungai Tong, Setiu.


KUALA TERENGGANU - Polis kini giat memburu seorang penoreh getah tempang dikenali sebagai ‘DolohLeeng Doloh’ berasal dari Wilayah Yala, Thailand.

Dia dipercayai suspek utama kes pembunuhan kejam seorang warga Indonesia di ladang kelapa sawit Kampung Tapah, Sungai Tong, Setiu, Jumaat lalu.

Suspek yang bernama Abd Halim @ Zaki Idris berusia 51 tahun itu bersama teman wanitanya juga warga Thailand dikenali ‘Mek Na’ dipercayai individu yang menjadi motif pembunuhan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, siasatan awal mendapati ‘Mek Na’ yang tinggal sebumbung dengan suspek utama tanpa ikatan sah selama lima tahun dan pada masa sama turut mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

“Susulan maklumat yang diterima daripada penduduk setempat, polis telah menyerbu kediaman suspek utama yang terletak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian pada petang semalam (kelmarin).

“Semasa serbuan dilakukan, kami dapati rumah suspek ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan terpaksa memecah masuk pintu utama untuk masuk ke dalam,” katanya semalam.

Manoharan berkata, suspek bersama teman wanitanya dipercayai melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa berdasarkan keadaan rumah yang berselerak dan penemuan beberapa dokumen penting milik mereka yang tidak sempat dibawa lari bersama.

“Kami percaya mereka berdua masih ada di negeri ini dan diharapkan orang ramai yang mengetahui atau mengenali suspek utama ini dapat tampil memberi maklumat membantu kami mengesannya.

“Dengan kerjasama orang ramai, kami yakin suspek dapat dijejaki dalam masa terdekat dan penahanan suspek dipercayai dapat menyelesaikan kes jenayah pembunuhan kejam ini,” katanya.


Bagi orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek boleh tampil ke balai polis berhampiran untuk memberikan maklumat.

No comments:

Post a Comment