Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Penoreh getah didakwa cederakan wanita

AYER KEROH – Seorang penoreh getah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah seorang wanita menggunakan cota, Isnin lalu.

K R Umashankar, 24, dari Pulau Sebang, Alor Gajah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, Umashankar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap P Anjalai, 27, menyebabkan mangsa menerima 38 jahitan di kepala dan patah jari telunjuk kiri, dengan menggunakan kayu cota sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang boleh mengakibatkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pisang Mas Jaya, Gadek, Alor Gajah, kira-kira jam 4.45 pagi pada 6 Ogos lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Syuhada Amran meminta mahkamah memberikan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Umashankar yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana hanya mempunyai pendapatan RM1,000 sebulan.

Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendengar laporan perubatan.

No comments:

Post a Comment