Peniaga miliki rokok seludup, didenda RM17,000
Tertuduh (kiri) diiringi anggota dari Cawangan Penguatkuasaan Kastam Kota Bharu, Mohd Jamri Mamat untuk membayar denda.
KOTA BHARU – Seorang peniaga didenda RM17,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku salah memiliki 68 karton rokok seludup, tahun lalu.

Hukuman terhadap W Mohd Azam W Hassan, 49, dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.

Berdasarkan tuduhan, bapa tiga anak itu didakwa memiliki pelbagai jenis rokok yang dilarang import bernilai RM1,465 di kedai runcit Kampung Padang Dermit, Jalan Raja Perempuan Zainab II di sini, pada jam 2.50 petang, 11 Julai.

Tertuduh mengaku bersalah menyebabkan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly turut menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara jika gagal lunas denda. Dia bagaimanapun membayar denda itu sebelum meninggalkan mahkamah.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kastam, Koh Joo Kai.

Terdahulu, tertuduh melalui peguam belanya memohon hukuman diringankan berikutan masih mempunyai tanggungan anak yang bersekolah.

“Tertuduh sudah 10 tahun berniaga dan inilah kesalahan pertama yang dilakukan serta dia berjanji tidak akan mengulanginya pada masa depan,” katanya.