Peniaga cedera ditetak parang
Khairil Ezzuan ketika menerima rawatan di HSB.
ALOR SETAR - “Ini merupakan tahun pertama kami meniaga ayam panggang di sini, tidak mungkin kami ada musuh dalam perniagaan,” kata seorang bapa kepada mangsa kejadian samun yang mengakibatkan anaknya ditetak, kelmarin.

Bapa mangsa, Nasidan Idris, 49, berkata, dia terkejut ketika menerima panggilan mengenai kejadian yang melibatkan anaknya, Khairil Ezzuan Nasidan, 26, di gerai ayam panggang terletak di Jalan Tun Razak.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika Khairil Ezzuan baru tiba di tapak perniagaan itu bagi memulakan perniagaan dan kemudiannya didatangi dua lelaki tidak dikenali dengan menunggang motosikal.

Dia yang tidak tahu punca kejadian itu berlaku sehingga anaknya cedera akibat ditetak dengan parang oleh dua lelaki turut berasa hairan kerana anaknya tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.

“Setiap kali dia (Khairil Ezzuan) ada masalah, dia akan cerita dengan saya, namun sebelum kejadian ini dia langsung tidak pernah menceritakannya. Saya sendiri tidak tahu apa punca kejadian ini dan me-ngapa mereka sanggup cederakan anak saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mangsa mengalami kecederaan dan telah menerima jahitan pada lengan kiri dan telinga kanan.

Beliau berkata, mangsa juga mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat dilibas dengan parang. Menurutnya, kedua-dua suspek telah melarikan diri dengan menunggang motosikal setelah mereka gagal menyamun mangsa.

“Salah seorang suspek telah berjaya ditahan oleh orang awam manakala seorang lagi telah melarikan diri. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kita masih memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri,” katanya.

Adzaman berkata, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) telah dibenarkan keluar dari wad.