Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Penduduk cuai

PUTRAJAYA: Kejadian jenayah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, kebanyakannya berpunca daripada kecuaian pemilik rumah yang meninggalkan rumah tanpa dikunci dengan sempurna, sekali gus mengundang peluang kepada penjenayah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kebanyakan kes jenayah di sekitar Putrajaya membabitkan jenayah mudah seperti pecah rumah dan curi kenderaan yang sebenarnya boleh dibendung dan dikawal jika pemilik tidak cuai.

“Sebagai contoh kejadian pecah rumah berlaku kerana pintu rumah tidak dikunci dengan sempurna, tingkap tidak ditutup atau tidak mengunci kenderaan dengan baik, ini semua mengundang penjenayah.

“Tetapi saya percaya jenayah ini hanya dilakukan mereka tinggal di persekitaran sama dan oleh penjenayah yang mengambil peluang atas kecuaian pemilik rumah atau kenderaan, bukannya penjenayah profesional,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat dan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid.

Mohmad berkata, pelbagai kempen sudah dijalankan untuk menangani masalah itu, tetapi kurang mendapat kerjasama daripada masyarakat, sekali gus menyukarkan pihak polis membanteras jenayah berkenaan secara keseluruhan.

“Kami akui ia akan mengambil masa untuk menyedarkan orang ramai mengenai usaha membanteras jenayah bukan hanya tanggungjawab polis, sebaliknya semua pihak, terutama masyarakat setempat,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan penduduk di Putrajaya yang akan mula pulang ke kampung sempena Aidilfitri minggu depan supaya memastikan rumah dan kenderaan dikunci dengan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, lebih 70 peratus penduduk akan pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, menyebabkan kawasan berkenaan lengang dan mungkin boleh menarik perhatian penjenayah.

“Namun kira-kira 450 anggota akan ditugaskan pada Aidilfitri ini di Putrajaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment