Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

Penduduk bimbang banjir besar



Che Bakar Che Deraman (kanan) bersama penduduk menunjukkan tempat yang didakwa bakal dibangunkan dikhuatiri akan mengakibatkan banjir teruk di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan, sermalam.
TUMPAT 27 Ogos - Penduduk Kampung Laut di sini bimbang akan menghadapi bencana banjir yang lebih besar sekiranya rancangan untuk membangunkan pulau-pulau kecil di antara Kampung Cina dan Kampung Kijang di Sungai Kelantan diteruskan.
Pulau-pulau yang berada dalam jajahan Tumpat itu menjadi tempat untuk penduduk kampung bercucuk tanam sejak sekian lama.
Seorang penduduk, Che Bakar Che Deraman, 62, mendakwa pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri membayar pampasan kepada pemilik tanah di pulau berkenaan sebelum dijual kepada pihak ketiga untuk membangunkannya.
"Kami tidak menolak pembangunan, tetapi apa yang membimbangkan sekiranya pembangunan dilakukan di kawasan tersebut, air Sungai Kelantan akan berubah haluan.
"Jika kawasan tersebut lebih tinggi, sudah tentu air yang sepatutnya keluar ke muara akan menghala ke kampung kami yang kedudukannya lebih rendah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Che Bakar berkata, sekiranya keadaan itu berlaku, penduduk khuatir bencana yang lebih teruk berlaku di kampung mereka biarpun pada setiap tahun kawasan itu dinaiki air.
"Banjir yang biasa pun kami sudah takut dan risau, inikan pula kemungkinan ia menjadi lebih teruk daripada biasa. Kami memohon kepada kerajaan negeri supaya prihatin dengan masalah penduduk dan melihat segala kemungkinan sekiranya pembangunan diteruskan," katanya.
Sementara itu, Wan Mohammad Wan Hasan, 30, berkata, bapanya adalah antara salah seorang pemilik tanah di pulau tersebut.
"Sebelum ini bapa saya mengusahakan tanah tersebut dengan menanam tembikai, tetapi pada 2004 bapa saya diberi pampasan sebanyak RM35,000 bagi tanah seluas lebih satu ekar.
"Saya berharap pihak berkuasa mengkaji semula pembangunan di kawasan ini supaya ia tidak merosakkan alam sekitar," katanya.

No comments:

Post a Comment