Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Pembantu kedai ditahan jual mercun

KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang pembantu kedai perkakasan berhubung kegiatan penjualan mercun dan bunga api di rumahnya di Kampung Pondok Lalang, Batu Rakit di sini, awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K.Manoharan berkata lelaki 34 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu rumahnya kira-kira 3.30 pagi dan menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM17,000 yang disimpan di bahagian dapur rumahnya.
"Kita masih menyiasat daripada mana lelaki berkenaan memperoleh bekalan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.
Manoharan berkata siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Batu Rakit itu menyimpan bekalan itu untuk jualan sendiri dan diedarkan kepada peniaga-peniaga berhampiran.
Katanya ini merupakan tangkapan mercun terbesar di Terengganu pada tahun ini dan pihaknya akan terus mengesan mereka yang terbabit bagi membanteras kegiatan itu.
Sambil mengingatkan peniaga supaya tidak terlibat dengan kegiatan penjualan mercun atau menghadapi tindakan undang-undang, beliau berkata polis akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menarik balik lesen peniaga terlibat.
Beliau berkata polis akan terus memantau beberapa lokasi penjualan mercun dan bunga api di negeri ini seperti di sekitar bazar Ramadan, pasar malam dan kedai runcit yang tertentu.- Bernama

No comments:

Post a Comment