Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

Pemandu Proton Wira Aeroback BGE 6660 dicari

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Proton Wira Aeroback antara yang dicari bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan menyebabkan dua lelaki mati ditembak di depan sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, selain pemandu itu, polis turut memburu dua lelaki yang dikenal pasti mencetuskan provokasi hingga tercetus pergaduhan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Pemandu Wira Aeroback bernombor pendaftaran BGE 6660 itu dipercayai menghantar salah seorang mangsa yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Dua lelaki berkenaan pula terbabit dalam pergaduhan dan antara suspek yang dilihat mula mencetuskan provokasi hingga keadaan bertukar ganas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Menurut Ku, setakat ini, pihaknya masih menyiasat sama ada dua mangsa yang parah serta dirawat di hospital itu adalah individu yang melepaskan tembakan dalam kejadian itu.

“Kami belum kenal pasti status mereka berdua kerana kedua-duanya masih belum sedarkan diri dan koma.


“Keadaan mangsa yang berusia 37 dan 39 tahun itu masih kritikal,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati empat das tembakan dilepaskan dalam pergaduhan itu menyebabkan dua kematian manakala enam individu lain cedera termasuk dua parah.

“Setakat ini, 12 individu berusia 21 hingga 40 tahun daripada kedua-dua kumpulan yang bergaduh sudah ditahan. Siasatan awal mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil memberi kerjasama dengan menghubungi bilik gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur di talian 03-21460685 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, beliau berkata, polis masih memburu suspek yang terbabit dalam kejadian cubaan samun hingga menyebabkan seorang pekerja kafe siber ditembak mati di Taman Jinjang Baru, di sini, Isnin lalu.

Katanya, polis ada petunjuk dan yakin dapat memberkas suspek yang sudah dikenal pasti itu dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment