KUALA TERENGGANU - Akibat perselisihan faham dengan pemandu bot pelancong, seorang pelancong Eropah cedera di belakang badan akibat ditikam dengan senjata tajam dalam kejadian di Pulau Perhentian, Besut, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu pemandu bot berkenaan bertindak menyerang pelancong berkenaan bersama seorang lagi rakannya.

Katanya akibat kejadian itu mangsa yang berusia 24 tahun itu cedera di belakang badan dan dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

"Mangsa telah dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Manoharan berkata pemandu bot yang berusia 28 tahun itu telah menyerah diri kira-kira pukul 10 malam tadi.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya. - Bernama