Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Padah jual mercun, bunga api

Padah jual mercun, bunga api
Abdullah (kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas
di sebuah rumah di Kampung Haji Dollah, Ayer Kuning, petang kelmarin.

TAPAH - Tindakan seorang lelaki berusia 51 tahun menjual mercun dan bunga api secara terbuka kepada penduduk mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan, Abdullah Arshad berkata, serbuan yang dibuat kira-kira jam 4.15 petang itu adalah hasil maklumat orang awam mengatakan lelaki berkenaan menjual mercun dan bunga api terlarang di kediamannya di Kampung Haji Dahlan, Ayer Kuning.
"Ketika serbuan, lelaki terbabit sedang berehat di dalam rumah manakala mercun dan bunga api terlarang diletakkan di hadapan rumahnya untuk dijual kepada pelanggan yang berminat.
"Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut menjumpai 139 kotak mercun dan bunga api dipercayai untuk dijual,” katanya kepada pemberita di IPD Tapah, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah, Asisten Superintendan Md Nasri Fadzir. Abdullah berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 51 tahun itu untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil soal siasat, lelaki ini mengaku memiliki dan menjual mercun serta bunga api tersebut.
“Lelaki ini juga mendapatkan bekalan mercun dan bunga api di daerah Kampar sebelum menjual barangan terlarang ini kepada kepada orang awam di rumahnya," katanya.
Abdullah berkata, nilai rampas mercun dan bunga api terlarang dianggarkan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000.
"Kes ini adalah tangkapan pertama melibatkan bahan letupan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
"Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika di dapati bersalah," katanya.
Katanya, lelaki terbabit ditahan reman semalam empat hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan.
“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan penjualan mercun dan bunga api tanpa lesen serta  kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh berhubung terus di hotline IPD Tapah 05-401 5222 atau SMS rakan Cops 32728 ataupun balai-balai polis berdekatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment