Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Motor meletup



Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
         
PUCHONG: Dua bersaudara nyaris maut apabila motosikal yang mereka tunggangi dalam perjalanan ke tempat kerja tiba-tiba meletup sebelum terbakar di Kilometer 27, Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) arah Putrajaya, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, penunggang motosikal, S Arumugam, 38, dan pemboncengnya, C Jevaratnam, 18, tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kenderaan mereka hangus kerana sempat menyelamatkan diri.


Jevaratnam berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di pusat bandar ini dari Subang Jaya apabila terdengar bunyi letupan kecil dari bawah tempat duduk.

“Kami terdengar bunyi bising dari bahagian bawah dan pada masa sama kaki terasa panas. Tiba-tiba api keluar dari bahagian enjin kiri menyebabkan kami terkejut dan segera memberhentikan motosikal.


“Mujur, motosikal ketika itu ditunggang perlahan menyebabkan kami sempat berhenti dan meninggalkan motosikal itu di tepi jalan,” katanya.


Menurutnya, dia tidak menyangka motosikal milik kakaknya itu bermasalah walaupun baru tiga bulan dibeli dari kedai terpakai.

“Kami menggunakan motosikal ini setiap hari ke tempat kerja di kedai besi buruk. Sebelum kejadian, lampu depan motosikal rosak dan saya merancang membaikinya selepas tamat kerja.


“Namun, belum sempat menghantar ke kedai membaiki motosikal ia sudah terbakar. Apapun, kami bersyukur kerana terselamat daripada kejadian itu walaupun kerugian RM5,000,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, satu jentera bersama enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 10.26 pagi.


“Pasukan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Izman Adnan tiba 10 minit kemudian tetapi api sudah membakar kira-kira 85 peratus motosikal berkenaan.


“Api kemudian berjaya dipadam dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan manakala kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui.

No comments:

Post a Comment