Monorel KL rosak, 100 penumpang cemas
Kelihatan pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan skylift untuk menyelamatkan beberapa penumpang yang terkandas dalam monoral di Brickfield petang ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR -  Latihan simulasi berpandukan Prosedur Respons Kecemasan (ERP) membantu memudahkan operasi menyelamat apabila sebuah tren monorel mengalami kerosakan di Brickfields semalam, kata KL StarRail Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan monorel KL.

Kejadian pukul 1.58 tengah hari itu menyebabkan 183 penumpang terperangkap dalam tren berkenaan dan diselamatkan dalam operasi pemindahan dari tren ke tren yang julung kali dilakukan di negara ini.

Ketua pegawai operasi  KL StarRail Sdn Bhd, Abdul Hadi Amra berkata, pasukan penyelamat memanfaatkan latihan ERP yang diadakan setiap tahun bersama agensi berkaitan – Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, hospital, St John Ambulance dan Rela.

"Kami berjaya mengawal keadaan semalam dan menyelamatkan setiap orang, termasuk menghantar tiga penumpang yang memerlukan pemerhatian kesihatan ke hospital berdekatan dengan segera.

"Kami bersyukur kepada Allah kerana tidak berlaku kemalangan jiwa dan kecederaan serius," katanya dalam kenyataan hari ini. Perkhidmatan monorel disambung semula pada 4.30 petang. - Bernama