Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Merajuk tak dapat tonton TV



Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
         
JOHOR BAHRU: Berang dimarah ibu yang melarangnya menonton televisyen, seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) bertindak terburu-buru meninggalkan rumah hingga gagal dikesan keluarganya selama lebih dua minggu sebelum ditemui orang ramai berlegar-legar di sekitar pekan Gelang Patah pada 3 jam pagi.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, remaja berusia 19 tahun itu dikenali sebagai Ijah Din, ditemui orang ramai di pekan Gelang Patah, 25 Julai lalu.


Menurutnya, orang ramai mengenalpasti remaja itu kemudian melaporkannya kepada Balai Polis Gelang Patah sebelum dia diserahkan kepada JKM untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil siasatan mendapati remaja itu mendakwa merajuk dan keluar rumah selepas dilarang ibunya menonton televisyen.


“Malangnya remaja itu yang mengalami masalah terencat akal tidak dapat pulang ke rumah atau mengingati alamat rumahnya. “Malah hingga kini, kami tidak dapat mengesan keluarga remaja itu yang dipercayai berada di sekitar bandar raya ini,” katanya.


Manayi berkata, buat masa ini remaja berbadan kurus dan berkulit gelap itu diberi perlindungan pihaknya sementara mereka mengesan warisnya.

Katanya, remaja itu dalam keadaan sihat namun dia gagal memberikan sebarang maklumat termasuk nombor telefon ibunya.


Menurutnya, remaja itu menyatakan hobinya adalah menonton televisyen dan ia kurang disenangi ibunya.

“Bagaimanapun kegagalannya menuruti nasihat ibu dipercayai menjadi punca dia keluar rumah dan tidak mengingati jalan pulang.


“Kami berharap ibu remaja itu datang menuntutnya secepat mungkin bagi membolehkannya menyambut Aidilfitri bersama keluarga.


“Malah orang ramai mempunyai maklumat mengenai keluarga diminta menghubungi kami di talian 07-2232606,” katanya.

No comments:

Post a Comment