Menahan kesejukan di beranda
Bahagian belakang tempat duduk inilah ruang yang digunakan Ghani untuk tidur sejak kejadian Jumaat lalu.
RANTAU PANJANG – Seorang warga emas di sini terpaksa menahan kesejukan bermalam di beranda rumahnya, selama seminggu setelah kediamannya dihempap pokok dalam kejadian ribut dan hujan lebat, di Kampung Tasek Cina, petang Jumaat lalu.

Warga emas, Ghani Awang Kechik, 68, tidur di beranda rumah yang hanya bersaiz 1.5x1 meter dengan beralaskan tikar dan tilam lama kerana ruang lain rosak sepenuhnya.

Ghani berkata, dia tidak mampu untuk membuang pokok buluh dan kebatu yang menghempap rumahnya disebabkan faktor usia yang sudah lanjut.

“Saya tidak mampu untuk mengupah orang membersihkan ranting, batang serta dahan pokok yang masih berselerak dengan pendapatan saya sebagai penarik beca.

“Hidup saya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Keseluruhan bumbung rosak teruk dan perlu digantikan dengan yang baru, malah rumah itu seperti tidak selamat untuk untuk diduduki kerana terpaksa ditongkat bagi mengelaknya daripada runtuh kerana kedudukannya agak condong daripada keadaan asalnya.

Biarpun kerosakan rumahnya agak teruk, Ghani yang tinggal sendirian sejak lima tahun lalu bersyukur terselamat kerana tidak ada di rumah ketika kejadian.

Lelaki yang mendakwa tidak mempunyai anak hasil perkahwinan dengan arwah isterinya ini berkata, kebiasaannya sekitar jam 5 petang dia berada di rumah, tetapi pada hari kejadian, dia tergerak hati untuk keluar membeli juadah berbuka puasa lebih awal dari biasa.

“Sebaik keluar dari rumah, hujan lebat diikuti angin kencang, saya singgah berteduh di pertengahan jalan.

“Apabila sampai di rumah, saya terkejut melihat keadaan rumah yang dihempap pokok,” katanya.

Menurutnya, biarpun sebelum ini tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak, kali ini dia merayu bantuan bagi membolehkan dia dapat menjalani kehidupan seharian seperti sebelum kejadian Jumaat lalu.

“Saya berharap agar ada bantuan untuk membaik pulih rumah ini, kerana ruang inilah (beranda) tempat saya bermalam.

“Sekiranya hari hujan, saya perlu menutup pintu rumah bagi mengelak air hujan masuk ke ruang beranda,” katanya.