Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

Maut tertiarap bawah meja

NILAI: Seorang wanita ditemui mati tertiarap di bawah meja makan oleh jirannya yang berkunjung ke rumah mangsa selepas pelik melihat kediaman warga emas terbabit bergelap dalam kejadian di Kampung Abdullah, Mantin, di sini, semalam.
Jirannya, Halijah Jamin, 63, yang tinggal berhadapan rumah mangsa, Siti Rohani Alias, 75, ketika ditemui berkata, kejadian itu disedari ketika pulang dari rumah saudaranya malam kelmarin.

Menurutnya, semalam kira-kira jam 10.30 pagi dia musykil apabila Siti Rohani yang mesra dipanggil penduduk kampung sebagai Kak Endut tidak menyahut panggilannya.

“Saya rasa tak sedap hati sebelum memanggil seorang rakan yang juga saudara mangsa untuk melihat keadaan di dalam rumahnya.

“Kami cuba memangil, namun tidak berjawab sebelum bertindak menendang pintu rumah.

“Arwah ditemui tertiarap di bawah meja makan berdekatan dapur. Rakan saya ingatkan mangsa pengsan sebelum saya nampak ada darah lalu kami menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusoff Awang yang turut berada di lokasi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, pihak polis pada mulanya mengesyaki kematian mangsa mungkin berpunca dipukul atau dipijak berdasarkan kesan calar di bahagian kaki serta tangan selain kesan lebam di bahagian dada.

Katanya, mayat terbabit juga ditemui dengan kesan darah di bahagian mata dan hidung.

“Bagaimanapun, doktor pakar patologi dari Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) yang datang ke tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah. Mangsa sudah meninggal dunia lebih 24 jam.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

No comments:

Post a Comment