Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Lilin ranapkan sebuah rumah

Lilin ranapkan sebuah rumah
eadaan rumah setinggan yang rentung dalam kebakaran yang dipercayai berpunca dari sebatang lilin.
TAIPING – Hanya kerana sebatang lilin, sebuah rumah di Kampung Murni, di sini, ranap dalam kebakaran menyebabkan sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin.

Seorang ibu tunggal, Rohani Yahya, 50, melahirkan rasa sedih apabila rumah peninggalan arwah suaminya hampir 10 tahun lalu musnah dalam sekelip mata.

Menurutnya, dia tinggal bersama empat anaknya, Sofian Sulaiman, 21, Siti Zajihah Sulaiman, 18, Siti Nur Ain Sulaiman, 14, termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) Mohd Izam
Sulaiman, 11, yang mengalami sakit jantung kronik.

"Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana membawa Mohd Izam menjalani pembedahan jantung di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

"Sehari sebelum kejadian saya pulang dari Pulau Pinang dan singgah di rumah adik, Julia Yahya, 35, yang terletak di Taman Saujana Jaya, Taiping," katanya.

Rohoni berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada anaknya Sofian keesokan harinya (Sabtu) selain memberitahu tidak ada satu barang yang berjaya diselamatkan.

"Setakat ini banyak pihak telah datang memberikan bantuan kebajikan mereka termasuk dari Umno, PKR, orang persendirian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan lain-lain bagi meringankan beban kami sekeluarga di sini.

"Pihak JKM meminta saya untuk mencari rumah untuk disewa yang mana kos sewaan keseluruhan akan ditanggung pihak berkenaan sementara mencari kawasan yang sesuai untuk pembinaan rumah baru," katanya.

Sementara itu, Sofian yang ditemui berkata, sebelum kejadian dia telah memasang lilin seperti biasa disebabkan ketiadaan bekalan elektrik.

“Namun sebelum waktu berbuka puasa dia sempat keluar untuk membeli juadah berbuka puasa dan merancang berbuka di kedai.

“Selepas berbuka puasa di kedai berhampiran saya terus pulang sekitar jam 9.30 malam dan mendapati api sedang marak menyambar keseluruhan rumah,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja ibu dan adik-adik tidak mempunyai pakaian malah dia sendiri juga cuma tinggal sehelai sepinggang.

“Pengalaman ini tidak akan pernah padam dalam sejarah hidup saya selamanya tambahan ia berlaku dalam bulan Ramadan,” katanya.

Bagaimanapun Sofian tetap bersyukur kerana semua pihak benar-benar mengambil berat terhadap mereka, menghulurkan bukan sahaja pakaian malah makanan dan wang ringgit juga diterima.

“Walaupun sehingga kini kami masih tinggal di balai raya berhampiran menyambut Ramadan kami tetap bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang mengalami kecederaan dan ALLAH SWT masih sayangkan kami semua," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Taiping, Musa Abdul Wahab berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan membakar hampir 90 peratus keseluruhan rumah sementara api dapat dikawal sekitar 10 minit kemudian.

Kata Musa, kebakaran itu bukan sahaja memusnahkan keseluruhan rumah malah hasil derma orang ramai termasuk pakaian, peralatan elektrik dan perabot turut musnah.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran disebabkan sebatang lilin yang membakar bahagian lantai kayu sebelum merebak keseluruhan rumah.

“Difahamkan rumah milik Rohani tidak mempunyai bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong, Yew Tian Hoe berkata, pihaknya memberi bantuan sebanyak RM300 sebagai wang perbelanjaan harian bagi meringankan beban Rohani dan anak-anaknya.

“Saya juga meminta pihak Baitulmal dan JKM membina semula rumah Rohaini yang terbakar ini dengan segera tambahan Aidilfitri semakin hampir,” katanya.

No comments:

Post a Comment