Lembu berkeliaran ancam nyawa
Keadaan sebuah kereta selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan dua lembu di simpang masuk ke Taman Daskoh, dekat Kuala Krai, Selasa lalu.
KUALA KRAI - Seorang pemimpin masyarakat, di sini, kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik lembu apabila masih membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya hingga mengundang bahaya kepada orang lain.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Guchil, Zulkifli Ya’cob berkata, biar pun sedar perbuatan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya dan akibat buruknya kerap disiarkan media, pemilik lembu terbabit nampaknya masih tidak insaf.

Katanya, jika pemilik lembu berkeliaran itu beragama Islam, mereka sebenarnya masih tidak faham erti dan tanggungjawab sebagai seorang muslim apabila terus berdegil melakukan perbuatan haram tersebut.

“Jangan ingat tinggal puasa sahaja haram bahkan, hukumnya sama iaitu haram dan berdosa kalau lembu peliharaan kita sebabkan orang lain hilang nyawa dan rugi harta benda.

“Saya pun sudah kerap dengar rungutan orang ramai tentang masalah ini hingga ada buat perumpamaan, pemilik lembu berkeliaran ini tidak ada beza dengan haiwan ternakan mereka, sama sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkifli berkata, pada kejadian terbaru nahas jalan raya membabitkan lembu berkeliaran di simpang masuk ke Taman Daskoh, dekat sini, Selasa lalu, tiga pemilik kereta menanggung kerugian teruk akibat kemalangan itu.

“Seorang mangsa baru sebulan beli kereta untuk ulang alik dari Bachok ke tempat kerja di Gua Musang tetapi bila berlaku kejadian ini, pemilik lembu terbabit tak terfikir ke betapa kasihannya nasib dia (mangsa).

“Tidak ada masalah kalau nak pelihara lembu tetapi biarlah ditambat. Kalau nak lepaskan berkeliaran hingga rosakkan tanaman dan bahayakan nyawa orang lain, baik tak payah pelihara lembu,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memandang serius dan mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah haiwan ternakan berkeliaran di daerah ini termasuk di Guchil.

“Saya minta tolong sangat dengan pihak berkuasa terbabit supaya pandang serius masalah ini dan ambil tindakan tegas kerana ia melibatkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

“Kita tidak boleh lagi biarkan pemilik haiwan berkeliaran ini tidur lena di rumah tanpa rasa bersalah sedangkan orang lain terpaksa tanggung sengsara dan hilang nyawa akibat haiwan ternakan mereka,” katanya.