Search This Blog

Sunday, August 12, 2012

Lapan lelaki ditahan terbabit judi



KUANTAN 10 Ogos - Lapan lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan setelah dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian di sebuah rumah di Batu 3, Jalan Maran, dekat Temerloh petang kelmarin.
Serbuan pukul 5 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan haram itu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Zundin Mahmood, sebelum serbuan dibuat, polis sudah mengepung rumah itu untuk mengelak semua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun tersebut melarikan diri.
"Suspek enggan membuka pintu menyebabkan polis terpaksa merempuh masuk sebelum bergelut dengan mereka.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui wang tunai berjumlah RM670 dipercayai hasil daripada pertaruhan judi berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Selain itu, katanya, polis turut merampas wang tunai bersama daun terup dan kesemua suspek terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh untuk siasatan lanjut.
Kata beliau, siasatan awal juga mendapati rumah berkenaan dipercayai milik salah seorang suspek untuk digunakan sebagai markas perjudian.
"Lapan lelaki berkenaan dipercayai sudah terbabit dalam kegiatan haram itu sejak beberapa bulan lalu," ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, polis memandang serius kegiatan perjudian yang dilaporkan kerap berlaku terutama pada Ramadan ini.
"Kita akan meneruskan operasi sama pada masa akan datang bagi membanteras kegiatan haram ini sekali gus menjadikan negeri ini bebas daripada kegiatan perjudian," ujarnya.

No comments:

Post a Comment