Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Kantoi guna alat ganti curi

KULIM - Kemungkinan takut ditahan berikutan pelbagai kesalahan, beberapa pemandu  kenderaan dan penunggang motosikal terutamanya sanggup menongkah arus apabila menyedari polis mengadakan sekatan jalan raya.

Ketua Balai Polis Kulim, Asisten Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, bagaimanapun mereka yang berbuat demikian berjaya ditahan dan tindakan saman dikenakan terhadap pesalah berkenaan.

"Ada antara mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan, ia adalah satu kesalahan. Selain itu polis turut menahan motosikal yang menggunakan alat ganti dipercayai dicuri.

“Polis tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang menggunakan alat ganti motosikal curi. Jika ditahan, kita akan mendakwa mereka terlibat kerana memiliki barangan curi.

Saya nasihatkan kepada golongan remaja dan belia terutamanya supaya memastikan motosikal mereka dalam keadaan baik sekiranya tidak mahu berhadapan dengan sebarang masalah,” katanya selepas Ops Lejang dilancarkannya di sini, kelmarin.

Operasi yang turut disertai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan ahli Pertubuhan Prihatin dan Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) itu adalah untuk memastikan kadar kecurian motosikal di kawasan Kulim terus dibendung.

Dalam operasi itu, lebih 50 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya kerana pelbagai kesalahan.

Dalam pada itu, Azlan turut berharap ibu bapa memantau pergerakan anak mereka terutama mereka yang mempunyai motosikal.

“Daripada saman dikeluarkan, didapati kebanyakan penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sudah tamat tempoh. Ini menunjukkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap kepentingan dokumen itu masih rendah.

"Sekiranya berlaku kemalangan, mangsa tidak memiliki lesen memandu dan kenderaan mereka tamat cukai jalan tidak boleh membuat sebarang tuntutan insurans. Selain itu kebanyakan pesalah remaja ditahan menyatakan motosikal dinaiki mereka dimiliki oleh ibu dan bapa mereka,” katanya.

Terdahulu, Ops Lejang dijalankan bermula jam 2.30 petang dan berhenti kira-kira jam 6 petang bagi membolehkan anggota terlibat yang beragama Islam berbuka puasa.

Operasi diteruskan semula jam 12 pagi dan berakhir kira-kira jam 4.30 pagi.

Kesemua anggota terlibat telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk membuat pemeriksaan terhadap semua jenis kenderaan.

No comments:

Post a Comment