Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Jumpa mercun RM17,000

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang pembantu kedai barang binaan mengaut keuntungan segera dengan menjual mercun dan bunga api tidak kesampaian apabila dia ditahan selepas polis menyerbu rumahnya di Jalan Bukit Wan, Kampung Pondok Lalang, Tepoh, di sini, sekali gus membawa kepada penemuan pelbagai bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai RM17,000.
Dalam serbuan jam 3.30 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menahan suspek berusia 34 tahun sebelum merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api di ruang dapur rumah berkenaan yang juga rampasan terbesar di Terengganu tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan intipan polis mengenai penjualan pelbagai jenis mercun sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik memperkenalkan diri kepada seorang lelaki yang berada di rumah berkenaan, polis yang menjalankan pemeriksaan menemui pelbagai mercun seperti 71 kotak mercun roket, empat guni mercun bola, 48 kotak mercun Gold Dragon Pili dan 42 kotak mercun Dragon Eggs.

“Selain itu, polis turut menemui pelbagai jenis bunga api seperti 150 kotak bunga api Happy Boom, satu guni putih bunga api bertulisan Thailand, 17 bungkus bunga api bertulis E050 dan dua set bunga api Magic Flower.

“Suspek dipercayai antara pengedar mercun dan bunga api terbesar di daerah ini. Polis sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk mengesan pembekal dan mengenal pasti dari mana bahan terlarang itu diperoleh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, dan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 sebelum dijatuhi hukuman denda RM6,000 atau lima bulan penjara.

Dia membayar denda berkenaan selepas mengaku bersalah di atas pertuduhan itu.
Dalam kes berasingan, Manoharan berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari cawangan sama menahan seorang lelaki yang menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api di sebuah kedai di bazar Ramadan Pengadang Baru, Jalan Kuala Berang, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 6.45 petang, polis merampas pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM200 dan suspek berusia 38 tahun sudah dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam, dan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau dua bulan penjara selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Manoharan turut menegaskan polis memandang serius isu penjualan mercun dan bunga api serta tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah sama ada menjual, memiliki ataupun membeli bahan terlarang itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan mercun boleh menyalurkannya ke Bilik Gerakan IPK Terengganu di talian 09-6354722 atau cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu, 09-6354810.

No comments:

Post a Comment