Jalan sesak gara-gara pengguna ghairah beli kerepek, kuih
Keadaan laluan sesak menghala ke kawasan jualan kerepek.
SUNGAI LANG, Kuala Langat - Laluan di Kampung Sungai Lang, Banting sesak kerana menjadi tumpuan masyarakat dalam dan luar daerah yang mencari kerepek serta kuih muih sebagai persediaan Aidilfitri nanti.

Pengunjung dari Sabak Bernam, Rahimah Hassan berkata, dia tidak menyangka akan berdepan kesesakan sedemikian walaupun tiba seawal jam 9 pagi.

"Saya tidak berpeluang mendapatkan parkir walaupun sudah berlegar beberapa kali, malah tidak dapat memasuki kawasan perusahaan IKS (industri kecil dan sederhana) kerana keadaan begitu sesak.

"Ada juga pengunjung yang terpaksa pulang dengan tangan kosong tanpa kuih muih dan kerepek gara-gara tidak tahan dengan kesesakan yang mereka alami," katanya.

Menurut, disebabkan kesesakan itu juga terdapat pengusaha yang mengambil inisiatif membuka gerai di kawasan berhampiran bagi memudahkan pengunjung mendapatkan produk mereka.

"Fenomena itu menjadi bukti perusahaan iks seperti kuih muih dan kerepek menjadi tarikan serta berpotensi untuk dikembangkan," katanya.

Penduduk, Muhammad Amer Yusof berkata, kehadiran pengunjung begitu ramai membantu meningkatkan taraf kehidupan peniaga tempatan dengan jualan produk yang berlipat ganda berbanding di luar musim perayaan.

"Harga berpatutan yang ditawarkan menjadi salah satu daya tarikan selain kepelbagaian produk dan kita bangga apabila kampung ini menjadi tumpuan untuk membuat persediaan Aidilfitri," katanya.