Ingin tidur lama petanda ajal
Hamzah (kiri) melihat motosikal mangsa yang digunakan suspek untuk mengheret mangsa daripada lokasi kejadian ke rumah mangsa di Kampung Tajin.
KAMPUNG TAJIN - "Hanya linangan air mata mengiringi sebaik sahaja melihat anak saya terbaring di hadapan rumah. Tambah memilukan apabila dia pergi menghadap ILAHI kerana dibunuh di saat kita semua bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi."

Itu luahan Rohana Muda, 47, yang tidak menyangka sikap rajin anak sulungnya, Ahmad Tarmimi Johari, 25, atau lebih mesra dengan panggilan Abang, Selasa lalu mengemas katil dan memberitahu ingin tidur lama tanpa ada sesiapa mengejutkannya menjadi petanda dia akan pergi selamanya.

"Hanya ALLAH tahu perasaan saya ketika itu apabila melihat dia pengsan dengan keadaan hidung berdarah dan cedera di kaki sebaik sahaja diberitahu anak bongsu saya, Fathanatul Huda, 13 yang keluar rumah untuk ke sekolah.

“Sejak suami meninggal lebih 10 tahun lalu, dialah banyak membantu terutamanya melibatkan kerja-kerja berat memandangkan dia anak tunggal lelaki serta anak sulung daripada lima beradik. Dia juga sering membantu saya berniaga kuih akok di kedai, depan rumah ini.

“Selasa lalu, dia bukan sahaja bergurau dengan saya mengatakan ingin tidur lama tanpa ada orang akan mengejutkannya. Ketika itu dia mengemas katilnya, malah turut menyatakan perkara sama pada rakannya yang membantunya mengubah kedudukan katil dalam biliknya untuk dikemas," katanya.

Menurut Rohana, sikap anaknya itu berbeza sejak akhir-akhir ini kerana begitu ringan tulang, tidak seperti biasa kerana selalu berdalih sekiranya melakukan sesuatu perkara disuruh.

"Sikapnya sungguh berbeza malah dia langsung tidak menunjukkan semangat menyambut Aidilfitri tahun ini dan memberitahu tidak akan membeli baju raya ataupun mengadakan sebarang persiapan berkaitan hari raya.

"Rupanya itu semua petanda yang dia benar-benar tidak akan berhari raya kali ini,” katanya.

Kata Rohana, kali terakhir dia bertemu anaknya itu malam Rabu lalu kira-kira jam 12 tengah malam apabila arwah pulang ke rumah seketika mengambil rokok selepas keluar dari rumah selepas berbuka puasa.

“Dia pulang tidak sampai lima minit, selepas mengambil rokok dia terus keluar semula. Pastinya saya benar-benar terkejut dan sedih keesokan paginya melihat dia terbaring atas simen di hadapan rumah, sedangkan malam itu saya melihatnya masih sihat.

“Walaupun masih bersedih dengan pemergiannya, namun saya reda kerana ini semua dugaan-Nya untuk saya. Jenazahnya juga telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tajin selepas solat Asar semalam (kelmarin),” katanya.


Mangsa dipercayai dihentak dengan objek keras

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hulu Terengganu memberitahu, mangsa meninggal dunia kerana kecederaan di bahagian kepala dipercayai dihentak dengan objek keras setelah terlibat dalam satu pergaduhan.

Menurutnya, terdahulu kira-kira jam 9.45 malam, Selasa lalu (7 Ogos), mangsa dipercayai berselisih faham dengan salah seorang suspek di satu lokasi di Kampung Tajin dan bertindak menampar suspek.

“Oleh kerana rasa tidak puas hati, suspek berkenaan telah mengajak dua rakannya dipercayai untuk membalas dendam. Sewaktu pergaduhan kira-kira jam 1.30 pagi, mangsa dipercayai dihentak dengan objek keras.

“Hentakan itu menyebabkan mangsa pengsan lalu diseret atas sebuah motosikal sejauh kira-kira 700 meter ke hadapan rumahnya sebelum ditemui salah seorang ahli keluarganya kira-kira jam 6.30 pagi hari sama," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi. Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat dihentak objek keras di bahagian kepala,” katanya.

Hamzah berkata, dalam masa dua jam lebih, pihaknya berjaya menangkap ketiga-tiga suspek berumur 20, 21 dan 23 tahun yang bekerja sebagai buruh di rumah masing-masing di Kampung Tajin serta Kampung Bukit Gemuruh.

“Kesemua suspek ditangkap ini mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan dan direman bermula hari ini (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Polis percaya motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham serta dendam,” katanya.