hina islam
Azmi menunjukkan salinan laporan polis dan penghinaan Islam di laman web di rumahnya di Kampung Sungai Gulang-Gulang.
TANJONG KARANG - Penghinaan agama Islam di laman web sosial dilihat semakin berleluasa sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam berikutan tiada garis panduan berkaitan isu yang menyentuh sensitiviti keagamaan diambil pihak berkaitan.

Seorang penduduk, Azmi Daud, 46, berkata, pihaknya terpanggil untuk membuat laporan polis berhubung penghinaan seorang individu di Twitter yang melampau apabila kata kesat itu terhadap ALLAH SWT, Rasul dan Nabi ketika melayari laman sosial di rumahnya.

Menurutnya, dia berasa terhina membaca kata-kata dilemparkan individu tidak bertanggungjawab itu dan jika tidak dibendung akan membawa ketegangan sekali gus mampu memperdayakan akidah serta pemikiran anak muda zaman kini.

“Semua agensi berkaitan diminta mengambil tindakan tegas terhadap penulis terbabit yang menghina Islam agar ia tidak terus-menerus berulang di masa depan dan sepatutnya tidak mengambil sikap berdiam diri terhadap sebarang isu yang berkaitan dengan akidah umat Islam.

“Penulis terbabit sepatutnya diambil tindakan dan saya harap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Sungai Gulang-Gulang.

Azmi yang kurang upaya berkata, sedangkan dalam keadaannya itu, dia bersusah payah mahu membela nasib umat Islam tercalar kerana penghinaan itu, kenapa insan lain tidak mengambil inisiatif sama membendung perkara tersebut.

“Saya sedih perkara ini masih berlaku dan isu sama turut diajukan kepada pemimpin setempat dan mahu mereka campur tangan demi menjaga kesucian agama Islam selain mengetepikan perbezaan fahaman politik demi perpaduan umat Islam negara ini.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati sengaja menyentuh sensitiviti agama di negara ini kerana jika dibiarkan akan menggugat perpaduan kaum di negara ini,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.