SEREMBAN - Dua lelaki warga Indonesia cedera selepas terkena tembakan senapang patah rakannya semasa mereka keluar memburu di hutan simpan Kota Tinggi, Johor, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata kedua-dua mangsa dari Seremban didapati mengalami kecederaan di depan dan belakang badan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di sini.

"Seorang daripada mereka terdapat lapan butir peluru penabur di bahagian badan, manakala seorang lagi 24 butir peluru penabur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya ekoran kejadian itu, polis memberkas seorang lelaki yang berasal dari Seremban semalam dan seterusnya tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Indonesia. Mereka merupakan rakan berburu kedua-dua mangsa.

"Hasil daripada penahanan itu, kita berjaya merampas dua laras senapang patah, 12 butir peluru senapang patah, 'briefcase' berisi peralatan senapang patah beserta enam butir peluru rifle 7.62.

"Empat lelaki terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan manakala kedua-dua mangsa pula ditahan atas kesalahan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Katanya kes ini akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor terutama di daerah Kota Tinggi kerana insiden ini berlaku di kawasan itu.- Bernama