Dua lelaki Nigeria sorok dadah dicekup polis
Yahaya (tengah) menunjukkan peket berisi kristal disyaki syabu yang dirampas.
SUBANG JAYA - Dua lelaki warga Nigeria yang sudah berada di negara ini tanpa dokumen sah dicekup bersama 1,971.5 gram kristal disyaki dadah jenis syabu oleh anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Isnin lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit masing-masing berusia 30 dan 32 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Puchong Utama bersama dadah dengan nilai pasaran hampir RM260,000 itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota mendekati kereta jenis Proton Saga yang diletakkan di tepi jalan.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis, dua lelaki yang berada dalam kereta cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

“Kami menemui sebuah beg komputer riba berwarna hitam di antara kerusi tempat duduk depan mengandungi dua beg plastik berisi kristal disyaki syabu.

“Salah satu plastik mengandungi 1.97 kilogram syabu manakala terdapat satu lagi peket kecil berisi 1.5 gram juga dipercayai dadah jenis syabu yang ditemui dalam sehelai sarung kaki,” katanya kelmarin.