Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Dua jam dikurung ah long



WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Ogos 2012
IPOH – Polis berjaya menyelamatkan dua beranak yang dikurung selama dua jam di sebuah kedai besi buruk di Sungai Buloh, Selangor selepas dilarikan empat lelaki dipercayai ah long dari Simpang Pulai di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, pengadu menerima panggilan dari adik lelakinya yang menyatakan dia bersama ayahnya di bawa ke Kuala Lumpur kerana hutang berjumlah RM30,000 tidak dibayar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) , Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, kedua-dua mangsa berusia 60 tahun dan 24 tahun itu diselamatkan selepas polis menerima maklumat daripada pengadu.

“Bertindak atas maklumat, pihak JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan dibantu Polis IPD Gombak membuat serbuan jam 6 pagi pada hari sama di premis berkenaan dan berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Hasil siasatan mendapati mangsa ada membuat pinjaman wang sebanyak RM30,000 tahun lalu dengan RM29,400 telah dilangsaikan. Perbincangan bersama suspek bulan lalu untuk membayar bakinya tidak dipersetujui apabila suspek memaksa membayar jumlah wang yang meningkat kepada RM42,200,” katanya.

Menurutnya, empat suspek berusia 31 hingga 35 tahun ditangkap dalam serbuan itu direman selama empat hari bermula kelmarin.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan salah bagi memeras harta atau memaksa supaya melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

No comments:

Post a Comment