Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Ditetak selepas bergaduh

Ditetak selepas bergaduh
Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen menjalankan siasatan di kawasan yang mempunyai kesan darah selepas mangsa ditetak.
MENGLEMBU – Dua lelaki warga Myanmar cedera parah di kepala dan badan selepas ditetak beberapa kali dengan sebilah parang oleh rakan senegaranya selepas terlibat dalam satu pergaduhan kecil di sini, kelmarin.

Difahamkan ketiga-tiga mereka baru pulang dari kerja dalam keadaan mabuk dan berlaku ‘perang mulut’ antara mereka di Persiaran Kledang Timur 19, Bandar Baru Menglembu.

Dalam kejadian 8.25 malam, suspek berusia 30-an itu cuba melarikan diri selepas mengamuk dan menetak rakannya namun, berjaya dihalang oleh beberapa pekerja warga asing lain.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya menahan suspek untuk soal siasat manakala, dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Polis masih menyiasat punca dan motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada pergaduhan sesama mereka selain tidak berpuas hati.

“Lebih memburukkan, kesemua mereka berada di bawah pengaruh alkohol yang teruk sebelum berlaku sedikit perselisihan faham,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis menemui senjata kejadian iaitu sebilah parang di luar rumah kedai yang dijadikan penginapan mereka duduki selain kesan darah.

“Kedua-dua mangsa kini masih dirawat di HRPB dan berada dalam keadaan kritikal.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga warga Myanmar yang juga pekerja sebuah kilang berhampiran mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah,” katanya.

No comments:

Post a Comment