Search This Blog

Monday, August 6, 2012

Dipecah masuk dua kali tidak sampai dua bulan



KOTA TINGGI 3 Ogos - Sebuah keluarga trauma selepas rumah mereka dipecah masuk penjenayah sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM60,000.
Faridah Hussin, 47, berkata, kegiatan pecah rumah sering dilaporkan berlaku di kawasan kejiranan Permata Saujana dan Taman Sri Saujana dekat sini.
Katanya, kejadian pertama menimpa keluarganya pada 19 Mei lalu menyebabkan kehilangan wang tunai, barang kemas, komputer riba serta telefon bimbit.
"Tidak sampai dua bulan, rumah saya telah dipecah masuk sekali lagi pada tengah malam 31 Julai lalu dan ia berlaku ketika kami hendak masuk tidur selepas selesai solat tarawih di masjid berdekatan sehingga berlaku pergelutan antara suami, Zamri Zakarian dan penjenayah tersebut.
"Sebaik sahaja menutup lampu dapur, suami terkejut apabila ternampak suspek yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju bersembunyi di sebalik meja makan. Suami saya terus mencapai sebatang kayu golf sebelum lelaki itu membaling kerusi dan bergelut dengan suami," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia yang bekerja sebagai eksekutif syarikat swasta berkata, penjenayah bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan wang tunai RM500 yang diletakkan di meja ruang tamu dan suaminya mengalami cedera ringan di pergelangan tangan dalam kejadian itu.
Jirannya, Mustaffa Suratman, 60, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai dan bergegas balik ke rumah sebaik sahaja menerima panggilan namun tidak berani untuk masuk ke rumah Faridah atas faktor usia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi berkata, rondaan di kawasan kejiranan tersebut dibuat secara berkala dan juga oleh anggota yang tidak berpakaian seragam.
Katanya, sempena cuti perayaan kelak, polis akan melancarkan Kempen Rumah Selamat dan pemilik rumah yang akan pulang ke kampung halaman boleh memaklumkan kepada polis alamat rumah, nombor untuk dihubungi dan tempoh ia ditinggalkan.

No comments:

Post a Comment