Dihempap dahan pokok patah
Zainol yang terbaring diberikan rawatan dalam ambulans selepas dihempap dahan pokok patah ketika menunggang motosikal di Jalan Gelung Bubu,Permatang Tok Gelam malam semalam.
SEBERANG PERAI- Seorang penunggang motosikal nyaris maut dihempap dahan pokok yang tiba-tiba patah semasa melalui Jalan Gelung Bubu, Permatang Tok Gelam di sini, malam semalam.
Kejadian jam 9.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Zainol Ismail, 49, mengalami kecederaan parah di muka dan leher selepas dihempap dahan sebesar paha orang dewasa yang tiba-tiba patah dan menimpanya.
Anak mangsa, Mohd Malek, 18, yang membonceng motosikal ditunggang bapanya berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Permatang Kuang selepas menziarahi neneknya di pekan Maklom, tidak jauh dari tempat kejadian.
“Ketika itu keadaan cuaca elok, tiada ribut mahupun hujan dan sebaik sampai di kawasan berkenaan, tiba-tiba sebatang dahan pokok itu patah dan menimpa bapa.
“Akibat dihempap dahan pokok itu, bapa gagal mengawal motosikal menyebabkannya terbalik sebelum kami berdua terjatuh,” katanya yang hanya mengalami kecederaan kecil kerana terjatuh motosikal.
Menurutnya, kejadian itu mendapat perhatian segera beberapa penduduk kampung berkenaan yang kebetulan sedang beristirahat di hadapan rumah masing-masing yang segera memberikan bantuan kecemasan termasuk bertindak menghubungi ambulans.
Saksi kejadian, Mohamad Shukri Che Wang, 27, berkata, ketika kejadian dia sedang memandu keretanya di belakang motosikal ditunggang Zainol di kawasan berkenaan.
“Saya turut terkejut apabila tiba-tiba mendapati sebatang dahan patah dan menghempap mangsa, menyebabkan saya turut memberhentikan kereta secara mengejut.
“Kejadian itu menyebabkan laluan terbabit mengalami kesesakan hampir sejam, kerana ia menjadi laluan utama pengguna kenderaan ke arah Kepala Batas dan pekan Maklom dan Sungai Dua,” katanya.
Mohamad Shukri yang merupakan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat Pulau Pinang dan tinggal di kawasan berdekatan berkata, dia sebelum itu pernah beberapa kali memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya memotong dahan pokok yang ditanam sepanjang jalan itu, kerana ia membahayakan pengguna jalan raya.
Mangsa kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas, manakala lalu lintas di kawasan berkenaan kembali lancar selepas beberapa penduduk mengalihkan dahan yang merintang jalan berkenaan.