Search This Blog

Sunday, August 5, 2012

‘Dia rayu nak ikut pak cik’




         
ALOR GAJAH: “Dia merayu mahu mengikut pak ciknya pergi ke klinik dan saya mengizinkannya tetapi berpesan supaya tidak nakal,” kata Alexius Julianos, 29, bapa kepada Jacqzent Cena Alexius, 5, yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Jalan Baru Solok-Tanjung Bidara di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kanak-kanak lelaki berkenaan bersama bapa saudaranya, Suliano Gagarin, 28, yang menaiki kereta Proton Wira dalam perjalanan dari sebuah klinik di pekan ini ke Rumah Awam Tanjung Bidara.


Sejurus tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Suliano dikatakan terbabas lalu merempuh pokok sena yang berada di bahu jalan.

Kemalangan menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa saudaranya patah kaki kiri. Menurut Alexius, ketika kejadian, dia berada di rumah sepupunya bagi melawatnya yang baharu melahirkan anak.


“Saya mengizinkan anak saya mengikut bapa saudaranya ke klinik dan terkejut apabila dimaklumkan mereka terbabit kemalangan “Pada waktu itu, saya dimaklumkan anak saya hanya tidak sedarkan diri sebelum mengetahuinya sudah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, kelmarin.


Saksi kejadian, Mohd Nizam Man, 16, berkata dia yang bekerja di sebuah kedai makan berdekatan terkejut selepas terdengar dentuman objek dirempuh.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya pergi ke tempat kejadian dan melihat sebuah Proton Wira tersadai di bahu jalan dengan enjin berasap sebelum menyedari pemandunya tersepit di tempat duduk pemandu.


“Selepas menyuluh menggunakan lampu, saya terkejut melihat sekujur tubuh kanak-kanak turut tersepit di dalam kereta itu,” katanya yang kemudian cuba membuka pintu kereta untuk mengeluarkan anaknya itu namun gagal.

“Pada waktu sama, orang ramai yang berada di tempat kejadian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah bagi mendapatkan bantuan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Joned berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 7.41 petang.


Lima anggota bersama sebuah jentera dikerah dalam operasi yang mengambil masa 20 minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit.


“Kami mendapati kaki pemandu kereta itu tersepit di pedal minyak dan kami terpaksa merenggangkan komponen kereta untuk mengeluarkannya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment