Dadah dalam pembesar suara
Penyiasat Bahagian Narkotik Daerah Baling, Inspektor Mohamad Helmi Abdul Hamid melihat dadah yang berjaya ditemui.
BALING - Dua lelaki berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan polis cawangan narkotik dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kerana dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah.

Remaja yang beralamat di Ipoh dan Bukit Mertajam itu ditahan di Jalan Baru Kupang-Gerik berdekatan kawasan Charuk Landak kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

Hasil pemeriksaan, polis berjaya menjumpai 120 peket lut sinar seberat 412 gram dipercayai dadah jenis heroin disorokkan di dalam sarung kaki suspek dan juga di bahagian kotak pembesar suara kereta yang dinaiki mereka.

Hasil risikan, polis berjaya mengesan pergerakan remaja berkenaan yang dipercayai giat menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Rahim Abdullah berkata, remaja terbabit cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan anggota yang terlibat.

“Namun, tiada sebarang pergelutan yang berlaku antara remaja berkenaan dan anggota polis,” katanya.

Dadah bernilai kira-kira RM10,000 itu dipercayai dibawa dari Pulau Pinang seterusnya akan diserahkan kepada pembeli sekitar daerah ini di kawasan tertentu.

Menurutnya, polis sentiasa melakukan risikan bagi mematahkan setiap cubaan pengedaran dadah yang berlaku di sekitar daerah ini.

“Namun begitu, masyarakat juga dialu-alukan memberikan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan menjual dan membeli dadah di daerah ini.

“Segala maklumat pengadu akan dirahsiakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Kedua-dua remaja terabit direman selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.