Cermin bas dibaling batu
Ismail menunjukkan cermin bas yang retak akibat tindakan nakal sekumpulan remaja.
SUNGAI PETANI – Seorang pemandu bas yang sedang membawa penumpang dari Rumah Anak-Anak Yatim Budi, Yan terpaksa berdepan detik mencemaskan apabila cermin bas yang sedang dipandu meletup akibat tindakan nakal sekumpulan remaja yang membaling batu ke arahnya.

Mangsa, Ismail Yusof, 55, berkata, dia bersama 40 penumpang lain nyaris kemalangan ketika sedang dalam perjalanan pulang dari Sungai Petani ke Yan kerana menghadiri satu majlis dua minggu lalu.

Akibat itu, dia terpaksa menyediakan kira-kira RM2,000 bagi membaiki kerosakan akibat tindakan pihak berkenaan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, apabila sampai dekat Kampung Singkir Laut kira-kira jam 11 malam, dia ternampak sekumpulan remaja tidur di atas jalan dekat masjid.

“Apabila kami sampai dekat dengan masjid, guru dan waris yang turut bersama di dalam bas memberitahu saya, nampak seperti bayang-bayang remaja sedang tidur atas jalan raya.

“Sebaik bas mendekati mereka, baru kesemuanya lari lintang pukang mengelakkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, keadaan itu membahayakan diri mereka termasuk penumpang jalan raya lain memandangkan keadaan jalan yang agak sunyi.

Katanya, bagaimanapun, dia tetap meneruskan perjalanan untuk menghantar penghuni Rumah Budi Yan memandangkan hampir lewat malam namun dikejutkan satu lagi insiden.

“Sebaik sampai di Kedai Rakyat 1 Malaysia dekat Ruat, Yan, saya ternampak sekumpulan remaja lain sedang berkumpul di tepi jalan.

“Apabila kami semakin hampir, seorang daripadanya tunduk untuk mengambil sesuatu dan terus baling ke arah bas yang sedang bergerak," katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penumpang yang kebanyakan berusia belasan tahun yang takut terus menjerit dan terkejut dengan bunyi letupan cermin yang kuat sehingga membuatkannya terus memberhentikan bas yang dipandu.

“Saya cuba mengejar sejauh 50 meter namun mereka lebih pantas menyembunyikan diri dengan masuk ke kawasan rumah kampung,” katanya.

Akibat kejadian, Ismail dan dua penumpang di hadapan terkena tempias serpihan kaca yang pecah namun mujur tiada sebarang kecederaan serius.

Katanya, disebabkan kejadian, dia terus membawa sebuah basikal milik remaja terbabit ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, kejadian sama turut dirasai pemandu teksi yang juga rakan mangsa di mana pernah diceritakan perkara sama apabila melalui Jalan Ruat-Yan yang dikatakan agak berbahaya.

Ismail berharap pihak berkuasa atau mana-mana pihak berkaitan boleh melakukan tindakan tegas supaya perkara sama tidak berulang.

“Saya juga menasihati orang ramai berwaspada apabila melalui jalan sama terutama pada waktu malam kerana ia boleh membahayakan nyawa pengguna,” katanya.