Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

Bongkar sindiket ijazah palsu

SEREMBAN – Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket ijazah palsu di sebuah pejabat kolej di Jalan Tun Dr Ismail di sini, yang kononnya adalah sebuah kampus apabila seorang mangsa berusia 43 tahun membuat laporan polis, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Ramli Mohd Nor berkata, mangsa yang juga bekas pegawai Angkatan Tentera Nigeria menyedari tertipu sebaik sahaja mendapat tahu adiknya ditahan dan disiasat polis negara terbabit.

“Adik mangsa yang memperoleh ijazah sarjana muda lebih awal daripada mangsa di tempat pengajian yang sama telah ditahan ketika memohon kerja kerana didakwa memalsukan dokumen pengajian,” katanya, semalam.

Ramli berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pejabat kolej yang mendakwa menawarkan kursus kerjasama dengan Universiti Glastonbury di United Kingdom sebenarnya tidak wujud.

“Mangsa yang mendaftar mengikuti Sarjana Muda Pengurusan Minyak dan Gas awal tahun ini, dikenakan bayaran RM10,000 untuk mengikuti pengajian secara dalam talian dengan kolej itu dan mangsa sudah membayar RM3,000.

“Bagaimanapun, adiknya yang membayar RM10,000 secara penuh mendapat ijazahnya lebih awal tanpa perlu menduduki sebarang peperiksaan," katanya.

Menurutnya, adik mangsa kemudiannya pulang ke Nigeria untuk mencari kerja dan ijazahnya didapati palsu kerana nama universiti yang digunakan tidak wujud.

"Siasatan polis mendapati kolej terbabit sudah beroperasi sejak 2009 dengan menyasarkan warga asing sebagai mangsa.

“Polis masih menyiasat lanjut modus operandi sindiket ini termasuk cara mereka menarik mangsa dan bilangan mangsa sehingga kini," katanya.

Ramli berkata, polis telah mengenal pasti seorang lelaki dipercayai pengarah kolej berkenaan berusia 40 tahun untuk membantu siasatan.

“Kes akan siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

No comments:

Post a Comment