Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

Barang lusuh dicuri ditemui



KUALA TERENGGANU 29 Ogos - Polis membongkar kegiatan membeli dan menjual barangan lusuh jenis tembaga yang dicuri dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Jambatan Sultan Mahmud dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang, sebanyak 18 guni dan dua tong besar plastik ditemui mengandungi pelbagai jenis barangan seperti kepala paip, kabel, meter air dan 180 biji kelongsong peluru bersaiz 5.56 milimeter.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, serbuan yang dijalankan bersama beberapa pegawai syarikat telekomunikasi Celcom itu turut menemui tiga daripada empat bateri pencawang telekomunikasi milik syarikat berkenaan.
Katanya, hasil serbuan itu, seorang lelaki yang juga pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan.
"Ketika ditahan, pemilik berusia 45 tahun itu juga gagal menunjukkan lesen perniagaan. Polis masih menyiasat nilai keseluruhan barang yang ditemui dan tidak menolak ia bernilai tinggi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelasnya, pemilik premis itu direman bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 kerana mencuri dan Seksyen 29 kerana memiliki barang yang dipercayai curi.
"Kita juga akan lihat jika pemilik ini akan disabitkan dengan Akta Senjata Api memandangkan kelongsong peluru dipercayai jenis M16 turut ditemui di premisnya.
"Kita akan siasat bagaimana dia memperoleh kelongsong peluru sebanyak itu dengan mudah," katanya.
Bagaimanapun, Manoharan menolak kes itu ada kaitan dengan kegiatan sebuah kumpulan mencuri bateri sokongan beberapa pencawang syarikat telekomunikasi sekitar daerah ini yang berjaya ditumpaskan polis negeri itu.

No comments:

Post a Comment