Search This Blog

Wednesday, August 29, 2012

Anak rayu ayah pulang

WARTAWAN SINAR HARIAN 29 Ogos 2012 BOTA - Rutin seorang warga emas yang gemar mencari barang lusuh menjadi titik hitam bagi anak-anaknya apabila lelaki itu tidak pulang ke rumah sejak 12 Ogos lalu. Abdul Shukor Pandak Abd Aziz, 68, yang dikhuatiri hilang dirayu pulang dan ahli keluarganya meminta jasa baik orang ramai segera menghubungi jika mengetahui atau terlihat bapa mereka. Salah seroang anaknya, Hamidah, 39, berkata, sudah menjadi rutin ayahnya keluar berbasikal di sekitar Pekan Bota dan Parit untuk mencari barang lusuh seperti botol dan surat khabar untuk dijual. “Dia memang suka mencari barang lusuh walaupun kami adik-beradik melarang. "Ditambah pula, sejak akhir-akhir ini ingatan ayah semakin terbatas dan dia juga sering diserang sakit tua,” katanya yang tinggal di Kampung Padang Tenggala, Bota Kanan. Kata Hamidah, pada hari kejadian, ayahnya keluar pada jam 8 pagi dan hanya disedari adiknya Mohd Asni, 34. "Ketika itu, saya sedang bekerja dan tidak menyangka tindakan ayah keluar pada hari itu menyebabkan kami adik-beradik tidak bertemunya. “Kami mengesyaki ayah tersesat memandangkan dia sukar mengingati jalan pulang ke rumah. "Ayah hanya membawa kad pengenalan dan memakai kain pelikat serta kemeja lengan panjang,” katanya. Sementara itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bota setelah Abdul Shukor masih belum pulang pada keesokan harinya. “Kami amat berharap ayah dapat ditemui segera kerana kami khuatir tentang keselamatannya, keadaan kesihatannya tidak memuaskan. “Orang ramai yang pernah melihat atau menjumpai ayah saya diminta menghubungi kami segera,” katanya. Hamidah boleh dihubungi menerusi talian 014-7541470 ataupun mereka yang menjumpai Abdul Shukor boleh menghubungi Balai Polis Bota di talian 05-3761222. Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman mengesahkan menerima laporan berkenaan kehilangan warga emas itu. Dalam pada itu, kes kehilangan yang pernah dilaporkan Sinar Harian pada 12 November 2010 lalu dapat diselesaikan apabila pengadu, Azizah Kulop, 72, telah berjumpa kembali cucunya, Muhammad Nor Rashid Abdul, 24. "Pengadu dan cucunya telah bertemu semula dan satu laporan dibuat pada 17 Ogos lalu, dipercayai cucu Azizah bekerja di Johor sewaktu dia dilaporkan hilang," katanya.

No comments:

Post a Comment