Aliff tak boleh tutup mulut
Keadaan Aliff selepas beberapa bulan kejadian berlaku.
SEREMBAN – “Hanya ALLAH SWT yang tahu perasaan saya sebaik mendengar tangisan Aliff yang menjerit kesakitan kerana badannya melecur akibat terkena air mendidih di dalam periuk nasi,” kata Hamidah Mohamad, 40
Kejadian berlaku Disember tahun lalu nyaris meragut nyawa anak bongsunya, Aliff Fezwan Azman, 2.
Menceritakan detik hitam itu, Hamidah berkata, dia tidak menyedari bagaimana kejadian itu berlaku namun anak sulungnya yang ketika itu berusia 2 tahun ternampak Aliff menarik kabel periuk nasi elektrik yang diletakkan di atas meja di ruang tamu.
“Saya sedang memasak di dapur ketika itu dan kedua-dua anak saya bermain di ruang tamu.
“Tiba-tiba saya mendengar tangisan Aliff yang lain daripada biasa menyebabkan saya bergegas ke ruang tamu tapi bagai tercabut nyawa saya apabila melihat dia menggelupur kesakitan akibat terkena air nasi yang sedang mendidih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Casurina di sini, selepas menerima kunjungan dan sumbangan daripada Tabung Kebajikan Dewan Undangan Negeri (Dun) Paroi.
Sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani.
Hamidah berkata, kejadian itu menyebabkan pipi, telinga, dagu, badan dan tangan Aliff melecur teruk sehingga menggelupas.
“Walaupun sudah beberapa bulan berlalu namun kesannya sampai sekarang. Dia sukar mengunyah dan makan.
“Paling menyedihkan, dia juga tidak boleh menutup mulut dan sering menangis kerana kulitnya berasa panas serta gatal,” katanya.
Menurutnya, dia perlu berulang alik dua minggu sekali ke Hospital Tuanku Ja'afar dan dua bulan sekali ke Hospital Kuala Lumpur untuk  rawatan susulan.
“Doktor maklumkan keadaannya boleh pulih dengan melakukan pembedahan betulkan semula kulitnya tetapi perlu ambil kira tahap kesihatan dan parut kecederaan sebelum pembedahan boleh dilakukan ketika usianya 4 tahun," katanya.