Search This Blog

Wednesday, August 1, 2012

Air mata berlinangan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Australia menangis tanpa henti ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat 1,005 gram, dua minggu lalu.
Tertuduh, L’ Aiguille Emma Louise, 34, didakwa bersama seorang lagi lelaki warga Nigeria, Esikalam Ndidi Anthony, 30, turut dihadapkan dengan tuduhan sama.

Selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka, kedua-dua tertuduh faham namun, tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka berdua didakwa dengan niat bersama mengedar dadah berbahaya itu di tepi jalan di hadapan 7-Eleven, Jalan Sultan, Dang Wangi di sini, pada jam 3.30 petang, 17 Julai lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Datuk Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa L’ Aiguille mengalami jangkitan paru-paru dan kemurungan teruk.

Shafee memohon mahkamah mempertimbangkan supaya anak guamnya itu diberi rawatan berhubung penyakitnya memandangkan sebelum ini pihak berkuasa dikatakan tidak mengendahkan permintaan tertuduh untuk ke hospital.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan permohonan itu dan akan mengeluarkan notis bagi memerintahkan tertuduh diberi rawatan perubatan.

Mahkamah turut menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment