Search This Blog

Sunday, August 12, 2012

88 peniaga asing ditahan di bazar Ramadan



JAMES Musa Singa (tengah) menunjukkan dokumen seorang warganegara Indonesia yang ditahan atas kesalahan menjadi agen haram pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Keuntungan berniaga di bazar Ramadan ternyata bukan sahaja dinikmati rakyat tempatan tetapi turut diambil kesempatan warga asing di ibu negara yang bekerja dan menjalankan perniagaan secara haram.
Ia terbukti apabila seramai 88 warga asing ditahan dalam pemeriksaan terhadap 158 premis dan gerai di lokasi-lokasi popular di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India dan Jalan Chow Kit, kelmarin.
Lebih memeranjatkan sekurang-kurangnya 10 warga asing dikesan menggunakan lesen perniagaan orang lain yang disyaki disewa.
Seorang warga Pakistan pula yang memegang pas pelajar mendakwa memiliki lesen perniagaan sebuah kedai di Jalan Masjid India daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Daripada jumlah yang ditahan itu, warga Indonesia merupakan paling ramai ditahan iaitu seramai 31 orang diikuti Pakistan (27), Bangladesh (20) dan selebihnya warganegara lain berusia 20 hingga 40 tahun.
Operasi bersepadu yang julung-julung kali diadakan Imigresen dan DBKL itu telah memeriksa seramai 354 warga asing dan menyita sebanyak 58 buah gerai bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan.
Penolong Penguat Kuasa Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, operasi bersepadu itu dijalankan ekoran banyak aduan yang diterima berhubung penglibatan ramai warga asing di tapak bazar Ramadan dan premis-premis perniagaan.
"Kebanyakan mereka bekerja di kedai-kedai tekstil selain bazar Ramadan.
"Antara kesalahan yang dikesan membabitkan warga asing itu adalah melebihi tempoh dibenarkan di negara ini, melanggar syarat permit bekerja, tidak melalui proses pemutihan serta tidak mempunyai dokumen," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan kegiatan satu sindiket penyelewengan tapak bazar Ramadan di ibu negara yang mengaut keuntungan jutaan ringgit.

No comments:

Post a Comment