Search This Blog

Saturday, August 11, 2012

55 saman dalam masa dua jam

55 saman dalam masa dua jam
Antara penunggang yang diperiksa dalam Ops Khas
Motosikal di Kilometer 1, Jalan Kamunting, semalam.

TAIPING – Hanya dalam tempoh dua jam, 55 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh  anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Taiping dalam satu operasi khas di Kilometer 1, jalan Kamunting, semalam.
Ketua Unit Operasi JPJ Cawangan Taiping, Kamarulzaman Zamry berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 303 motosikal diperiksa dan mengenakan saman kepada mereka yang membuat kesalahan malah turut menyita sebuah motosikal.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak mempunyai cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, nombor pendaftaran yang diubah suai, nombor pendaftaran motosikal yang ditukar serta tiada nombor pendaftaran enjin.
"Ops ini adalah Operasi Pra Perayaan menjelang musim perayaan Aidilfitri dan setakat ini, kita menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal di setiap kawasan panas yang dikenal pasti.
"Ia selaras dengan Operasi Khas Aidilfitri yang akan bermula di seluruh negara secara serentak pada 12 hingga 26 Ogos ini,” katanya ketika ditemui, di sini.
Beliau berkata, pihaknya mensasarkan penunggang motosikal kerana mendapati statistik kadar kemalangan menunjukkan melibatkan penunggang dan pembonceng merupakan yang tertinggi.
Apabila ditanya mengapa sering terdapat kes di mana ramai penunggang dan pemandu tidak mempunyai lesen disaman, beliau menegaskan ini kerana mereka tidak peka terhadap lesen yang telah lama tamat tempoh.
"Jika kadar masa tamat tempoh lesen CDL (Competent Driver’s License) terlalu panjang, akan menyebabkan pengguna tidak berani  untuk membaharui lesen berkenaan.
“Bagaimanapun, JPJ telah pun melonggarkan syarat iaitu tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun bagi pemilik lesen CDL dan jika melebihi tempoh itu lesen perlu dibaharui semula selain perlu mengikuti khusus seperti mula-mula mahu mendapatkan lesen memandu P,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 29 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987 mana-mana lesen yang sudah melebihi tiga tahun tamat tempoh tidak boleh diterima rayuannya.
Manakala, bagi pemegang Lesen P yang sudah habis tempohnya dua tahun, harus ditukarkan kepada Lesen CDL dalam masa setahun.
“Gagal menukarnya ke jenis lesen CDL akan mengakibatkan lesen tersebut dibatalkan secara langsung, namun jika pesalah trafik itu gagal menjelaskan saman JPJ nama mereka akan disenaraihitamkan selagi saman tidak dijelaskan dan tidak boleh memperbaharui lesen memandu.
“Justeru, saya mengingatkan agar setiap kali lesen memandu anda tamat tempoh segeralah memperbaharuinya supaya tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya.

No comments:

Post a Comment