4 sekawan dicekup, terlibat kes samun
Semua suspek ditahan selepas dipercayai terlibat menyamun seorang pengawal keselamatan di Kota Damansara.
PETALING JAYA – Empat suspek dipercayai terlibat dalam kes samun seorang pengawal keselamatan di Seksyen 5, 28 Julai lalu berjaya diberkas anggota polis Kota Damansara di sebuah kawasan rekreasi di sini, semalam.

Hasil maklumat awam ke semua suspek yang menaiki kereta Proton Waja ditahan ketika mereka sedang melepak di sebuah kawasan rekreasi dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, tangkapan dibuat berdasarkan rakaman yang diperoleh kamera litar tertutup (CCTV) pondok pengawal itu.

Menurutnya, video berdurasi seminit 46 saat yang turut tersebar di laman YouTube itu menunjukkan tiga suspek bertindak menyerang mangsa menggunakan parang  menyebabkan mangsa cedera di lengan kanan dan leher.

“Kereta  dinaiki suspek juga adalah kereta sama dirakam oleh kamera  pondok pengawal itu,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1 pagi itu,  suspek turut melarikan barangan termasuk telefon bimbit milik mangsa.

Difahamkan, salah seorang suspek baru selesai hukuman buang daerah dan pernah dipenjarakan di penjara Simpang Renggam.

Semua suspek ditahan berusia 21, 30, 27 dan 16 tahun dan kes disiasat di bawah kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 kerana samun berkawan bersenjata api.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya  dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek untuk tindakan selanjutnya.