36 lokasi panas dikenal pasti
Mohd Mokhtar mengedarkan risalah keselamatan kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Skudai, semalam.
JOHOR BAHRU – Seramai 650 pegawai dan anggota polis negeri ini bakal bertugas di 36 lokasi hot spot kemalangan sempena Ops selamat yang bakal bermula pada 12 hingga 26 Ogos ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, Ops Selamat pada kali ini berkonsepkan ronda untuk memastikan rumah selamat dan pengguna jalan raya selamat sampai ke destinasi.

Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti 36 lokasi yang dikenali sebagai hot spot kemalangan yang kerap berlaku terutama dalam Ops Sikap yang diadakan sempena musim perayaan pada tahun lepas.

“Tahun ini kita wujudkan transformasi ‘selamat’ untuk memastikan bukan sahaja orang ramai selamat sampai ke destinasi, tetapi keadaan rumah juga selamat ketika ditinggalkan.

“Kita turut menggesa tuan rumah mengambil langkah keselamatan supaya rumah dikunci dan lampu dipasang walaupun penghuni pulang ke kampung supaya tidak menarik perhatian perompak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat dan Kempen Rumah Selamat Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri di Plaza Tol Skudai, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pada Ops Sikap tahun lepas, sebanyak 42 kematian dilaporkan daripada keseluruhan 2,556 kes kemalangan yang dicatatkan sepanjang tempoh operasi dijalankan.

Menurutnya, pada Ops Selamat pada tahun ini pihaknya menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kita merayu pengguna jalan raya supaya patuhi peraturan jalan raya dan tidak memandu dalam keadaan kelam-kabut kerana polis tidak akan bertolak-ansur mengeluarkan saman.

“Tak ada maaf-maaf kalau anda melakukan kesalahan, kerana yang penting kita sayangkan nyawa anda dan keluarga yang sedang menanti kepulangan anda. Biar lambat asal selamat,” katanya.