KLANG- Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan sekolah, dua minggu lepas.
  
Fadli Mohd Razali, 35, Fadziran, 32, dan Suhardi, 18, dari Kampung Perepat, Kapar, di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Sharidah Awang.
  
Mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Onn Ismail, 30, di hadapan rumah No: 43, Jalan 5, Taman Permai, Simpang Tiga, Jeram, Kuala Selangor, antara pukul 11.40 malam pada 14 Ogos hingga 12.20 pagi.
  
Tiga beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
  
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat mencadangkan agar ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 setiap seorang atas alasan pertuduhan yang mereka hadapi serius.

Peguam Ahmad Jufliz Faiza, yang mewakili tiga beradik terbabit, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan Fadziran dan Fadli mempunyai anak-anak yang masih kecil sementara Suhardi merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
    
Beliau juga berkata tiga beradik berkenaan berasal dari keluarga yang susah dan keluarga mereka hanya membawa RM10,000 ke mahkamah.
    
Hakim Nor Sharidah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 4 Okt ini untuk sebutan semula kes. -Bernama