15 tahun dihurung lalat
Normala menunjukkan kuih rayanya yang dihurung lalat dan terpaksa disimpan dalam bekas berpenutup dengan cepat.
BATU PAHAT – “Bukan setakat puluhan ekor, malah ribuan lalat menyerang rumah saya setiap kali menyediakan makanan,” kata salah seorang penduduk Kampung Desa Jaya, Ayer Hitam, dekat sini, Normala Ngadanan, 47.

Menurutnya, sudah 15 tahun masalah lalat ini dihadapi penduduk di situ.

“Bagaikan menanti bulan jatuh ke riba, atau menunggu sesuatu tak kunjung tiba...hanya itu sahaja yang boleh kami katakan berkaitan masalah lalat ini.

“Kami sudah tidak tahu lagi cara untuk menghalau serangga berkenaan, bermacam-macam cara telah kami lakukan termasuklah membeli perangkap lalat dan racun serangga,” katanya.

Normala berkata, bilangan lalat ini bukan semakin berkurang, tetapi semakin bertambah dari sehari ke sehari.

“Kami sudah tidak tahan dengan masalah ini, kami malu dengan sanak saudara setiap kali mereka mengunjungi rumah kami dengan keadaan tidak selesa terutamanya di musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

“Mana tidaknya, duduk sahaja akan dihurung lalat. Itu belum lagi apabila makanan dan minuman yang kami sediakan, pastinya akan mnearik minta lalat menghurunginya.

Sudah tentu mereka akan berasa geli untuk menjamahnya.

“Bagi bulan puasa ini pula, hidangan yang kami sediakan untuk berbuka dan juga bersahur turut dihurung lalat.

"Lalat yang ada di kawasan kampung ini sudah tidak kira siang atau malam, seolah-olah mereka ini kerja ‘overtime’, waktu malam pun ada,” katanya.

Menurut Normala, dia mengharapkan pihak yang berkenaan dapat membantu agar masalah yang dihadapi penduduk kampung berkenaan dapat diatasi dengan seberapa segera.

Perkara tersebut pernah diutarakan sebelum ini namun permasalahan ini dilihat masih berterusan sehingga penduduk hidup dalam kesulitan.