13 sekeluarga mangsa kebakaran terpaksa cari rumah sewa baru
Azizi (tiga kanan) melihat bahagian dapur rumah Alias yang terbakar
SEMENTA - 13 sekeluarga terpaksa menumpang di dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) apabila ruang dapur rumah yang disewa sejak lapan bulan lalu di Jalan 2, Taman Klang Perdana itu terbakar ketika kesemua penghuni kediaman tiada di rumah.

Mangsa Alias Kamis, 50, berkata, kejadian hampir sama pernah menimpa mereka sekeluarga apabila rumah sewa yang didiami di Kampung Kebun Baru, Perepat musnah dalam kebakaran kira-kira setahun lalu.

"Disebabkan kejadian itu, kami berpindah ke rumah sewa sekarang dan malang sama menimpa namun kebakaran kali ini hanya berlaku di bahagian dapur.

"Disebabkan kebakaran ini, persiapan Aidilfitri terjejas apabila peralatan elektrik dan perkakasan dapur mengalami kerosakan teruk," katanya ketika ditemui dalam program ziarah Ketua PKR Cabang Kapar, Azizi Ayob dan ahli jawatankuasanya.

Alias tinggal di rumah teres setingkat itu bersama 13 ahli keluarga termasuk isteri dan 10 anak berusia enam hingga 25 tahun serta tiga cucu itu mengalami kerugian sekitar RM5,000 ke RM7,000 disebabkan kebakaran jam 10 malam, Khamis lalu.

Menurutnya, kejadian hanya disedari salah seorang anaknya yang baru pulang ke rumah.

"Sebaik anak membuka pintu utama rumah, dia nampak wayar elektrik dan beberapa barang di bahagian dapur sedang terbakar. Dia menjerit meminta tolong daripada jiran berdekatan sebelum bersama sama memadamkan api,” katanya.

Menurutnya, dia yang baru pulang dari berniaga air minuman di bazar Ramadan TTDI Bukit Jelutong secara kebetulan tiba bersama anggota bomba untuk memadamkan kebakaran.

"Melihat keadaan itu, tiada harapan untuk kami menyelamatkan semua peralatan elektrik dan barangan yang tersimpan di dapur. Bagaimanapun, ketangkasan anggota bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke ruang lain dan kediaman jiran terdekat,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga terpaksa menumpang sementara di dewan KRT sementara mencari rumah sewa lain untuk didiami.

“Kami agak sedih kerana kejadian berlaku ketika kita umat Islam hendak menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dan bagaimanapun bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya.

Pada kunjungan itu juga, Alias sekeluarga menerima juadah bersahur dan sumbangan kewangan daripada Majlis Perbandaran Klang. Dalam pada itu, mereka turut menerima bantuan bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.