Search This Blog

Thursday, August 30, 2012

1,292 biji pil kuda dirampas dalam dua tangkapan



Abdul Aziz Mahmud (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan wang yang dirampas di Tanah Merah, Kelantan, semalam.
TANAH MERAH 27 Ogos - Polis merampas 1,292 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000 dalam dua tangkapan berasingan ketika Ops Bersepadu di Jalan Taman Hiburan, semalam.
Tangkapan pertama dibuat pada pukul 2.50 pagi selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Satria yang dinaiki tiga lelaki.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abdul Aziz Mahmud berkata, hasil pemeriksaan, pihak polis menemui dua biji pil kuda yang diletakkan dalam kotak rokok pada salah seorang pemuda terbabit.
"Hasil siasatan lanjut, polis menjumpai satu beg silang berwarna coklat yang diletakkan dalam ruang simpanan barang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.
"Polis kemudian menjumpai enam paket plastik warna biru mengandungi 992 biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda serta satu plastik lutsinar dipercayai berisi ganja dan turut dijumpai wang tunai RM4,450," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, suspek yang berumur 23 hingga 32 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kesemua mereka didapati positif dadah
Tambahnya, kes disiasat mengikut sekyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk pil kuda dan bagi ganja di bawah Seksyen 6 1952.
Sementara itu, bagi tangkapan kedua, di tempat yang sama pihak polis telah menahan kereta jenis Proton Putra yang dinaiki dua lelaki dan menemui satu beg sandang di bawah tempat duduk pemandu bahagian depan berisi 300 pil kuda.
Abdul Aziz berkata, kedua-dua suspek ditahan dan disiasat di bawah 39A (2) ADB 1952 turut dijumpai satu botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki ganja serta wang tunai RM1,760.
"Jumlah keseluruhan tangkapan kes ini RM8,300, dalam pada itu polis turut menyita dua kereta, wang tunai dan telefon bimbit dan siasat bawah seksyen Akta Pelucuthakkan Harta ADB 1988 A," katanya.

No comments:

Post a Comment