12 laluan maut dipantau
Johari menunjukkan 12 lokasi laluan maut sepanjang operasi Penguatkuasaan Aidilfi tri.
JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri memberi tumpuan terhadap 12 lokasi laluan maut di seluruh negeri ini sepanjang operasi Penguatkuasaan Aidilfitri bermula Ahad ini hingga 26 Ogos ini.
Pengarahnya, Johari Yusof berkata, operasi berkenaan akan dihentikan buat sementara waktu pada cuti hari raya pertama dan kedua seterusnya akan bermula semula pada hari raya ketiga.

Katanya, 12 kawasan berkenaan adalah Kilometer (KM) 20 Jalan Johor Bahru- Air Hitam, KM 21 Jalan Johor Bahru- Pontian, KM 20 Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling, KM 21 Jalan Muar-Pagoh, KM 140 Jalan Johor Bahru- Melaka, KM 10 Jalan Kesang-Muar dan KM 15 Jalan Segamat-Kuantan.
Turut terlibat, KM 18 Simpang Lima-Parit Sulong, KM 10 Jalan Kluang-Jalan Air Hitam- Batu Pahat, KM 49 Jalan Johor Bahru- Air Hitam, KM71 Jalan Johor Bahru-Mersing dan KM2 Jalan Johor Bahru- Kota Tinggi.

“Anggota JPJ turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik melalui penguatkuasaan secara penyamaran dengan mengambil gambar kenderaan atau pemandu yang melakukan tujuh kesalahan seperti kesalahan dimandatori sebagai punca kemalangan.

“Tiada sekatan jalan raya di adakan di kawasan berkenaan, hanya penguatkuasaan secara rondaan sahaja dilakukan oleh pasukan pemantauan JPJ,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat JPJ negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, JPJ juga telah mengeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan Barangan semasa berkuat kuasa pada 17, 18, 25 dan 26 Ogos ini iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas Hari Raya membabitkan tiga kategori Larangan Penggunaan Kenderaan Barangan  mengikut jenis kenderaan berat.

Katanya, pihaknya turut menjalankan penguatkuasaan terhadap bas ekspres dan bas tambahan ekspres di depoh  bermula 5 Ogos hingga 11 Ogos ini termasuk penguatkuasaan di terminal bas utama di Terminal Bas Larkin, di sini dan Terminal Bentayan, Muar.

“Pemeriksaan air kencing ke atas pemandu bas ekspres di terminal juga dijalankan sepanjang penguatkuasaan Aidilfitri membabitkan kerjasama daripada pihak polis dan Agensi Anti
Dadah Kebangsaan,” katanya.
Johari berkata, operasi khas motosikal bersepadu turut dijalankan pada 5, 15 dan 23 Ogos di laluan tumpuan utama bersama beberapa agensi penguatkuasaan berkaitan memandangkan lebih 60 peratus kemalangan maut adalah membabitkan kenderaan itu.